Assalammualaikum...wbt
Alhamdulillah,....sejak berubat balik ini,keadaan diri ini semakin sihat.Syukur padaNya....kerana usaha dan ihktiar dengan mencari penawar diri bertemu perawat Ustaz Sharhan Shafie ,diizinkanNya sakit ini beransur-ansur pulih.Walaupun gangguan kecil berlaku sekali sekala,dengan ayat2 Allah yang lagi berkuasa yang selalu diperdengarkan dan diwiridkan setiap kelapangan agar tidak alpa,alhamdulillah...dapat meneruskan segala urusan dan kerja2 yang tertangguh.Sesungguhnya DIA lebih mengetahui apa yang terbaik buat diri ini...ALLAHU AKBAR....
Moga ALLAH permudahkan dan beri YANG TERBAIK pada Liza.Dan alhamdulillah,Liza mendapat kekuatan dari secebis kisah dan pengalaman yang di coretkan di sebuah blog yang dikongsikan oleh rakan untuk tatapan para2 pejuang ilmu...Moga kisah dan pengalaman Dr Fauziah ini ,menjadi sumber inspirasi rakan2 seperjuangan yang sedang buat phD walau di mana saje berada.Walaupun ujian ALLAH itu tidak sama pada setiap hambaNya,tapi kita sebagai hambanya yang diberi akal dan fikiran,boleh jadikan panduan dan tauladan dari setiap pengalaman yang berlaku itu.Renung dan fikir kisah tersirat dan tersurat yang berlaku disebaliknya.....semasa membaca kisah ini, air mata ini bergenang seolah2 Liza yang melalui semua itu,walaupun dugaan Liza tak sehebat itu,tapi cukuplah dugaan yang Allah beri kat Liza ini selama hampir 3 tahun mencari penawar diri dari gangguan2 yang berlaku,tak tertanggung rasanya ,.........
Jom,kita sama2 baca coretan DR FAUZIAH ini.
Sumber : Dr Fauziah
KISAH DI SEBALIK SEBUAH GELARAN...Peritnya dugaan, manisnya kesabaran..indahnya persahabatan..
Untuk semua rakan-rakan dan juga mereka yang sudi membaca di ruangan ini. Saya sekadar ingin berkongsi sedikit pengalaman hidup jika ada yang boleh dijadikan sempadan dan tauladan, pengajaran dan cabaran. Pelajar2 saya sering berkata kepada saya.."Dr, bestnya ada PhD kan..bestnya jadi pensyarah.. tentu gaji pensyarah besarkan?" Itulah yang sering diucapkan kepada saya dan akhirnya pada suatu hari, saya bertanya di dalam kelas, "Boleh tak saya nak ambil masa kamu . Saya nak cerita sikit?" Semua pelajar saya menjawab serentak "Boleh!" Hari ini saya nak ceritakan pengalaman saya buat PhD... (sambung pelajaran untuk dapatkan PhD dan mereka meletakkan pen dan pensil untuk mendengar cerita saya).
Saya buat PhD atas dua sebab. Pertamanya, memang itu cita-cita saya. Keduanya, kerana polisi universiti yang mewajibkan setiap pensyarah mesti memiliki ijazah phd. Ada orang kata phd..penyakit hasad dengki tapi bagi kami, phd adalah 'permanent head damage' . Pelajar2 saya tergelak besar bila mendengar istilah tersebut. Damage bukan bermakna rosak tapi nak menunjukkan betapa peritnya liku-liku hidup yang terpaksa dilalui untuk mendapatkan sekeping ijazah bernama PhD.. Pada tahun 1997 saya dan suami serta dua orang anak ke Birmingham, UK untuk melanjutkan pelajaran. Suami saya mengambil cuti tanpa gaji selama 3 tahun. Dia hendak menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan saya peringkat phd. Bermakna anak2 saya akan hidup dengan dua orang 'pelajar' yang akan sentiasa sibuk dengan buku2 dan tugasan yang perlu disiapkan. Pada hujung 1997, anak2 saya mendapat tahu mereka akan mendapat seorang adik yang akan dilahirkan pada pertengahan 1998. Bertambah lagi satu cabaran. Selama 10 bulan, saya berulang-alik ke universiti di mana saya perlu ambil dua bas atau satu bas dan keretapi untuk sampai ke universiti. Saya tanyakan pada pelajar2 saya, "Boleh tak awak semua bayangkan bagaimana seorang ibu yang pregnant menjadi pelajar? Kalau dibandingkan dengan kamu semua yang masih solo, tinggal dalam kampus, ada bas disediakan tapi ada di antara kamu yang masih lewat datang ke kelas?" Pelajar2 saya terdiam, tidak ada lagi bunyi ketawa.Mereka faham, saya sedang 'menyindir' sambil bercerita.
Pada Julai 1998, saya selamat melahirkan anak ke 3, seorang lagi anak lelaki dan bulan itu juga suami saya menerima ijazah sarjananya. Dia telah selamat tamatkan sebuah episod tapi perjuangan saya belum selesai. Supervisor meminta saya berusaha lebih gigih supaya lebih cepat siap dan dapat phd. Waktu malam suami saya bekerja part-time di kilang Cadbury. Agaknya kurang selesa hanya tolong menjaga anak2 semasa saya ke universiti atau tidak selesa tidak ada pendapatan sendiri. Ada masanya saya membaca buku atau menaip tugasan sambil meriba anak saya yang masih bayi dan suami saya pula melayan dua orang anak saya yang waktu itu berumur 7 tahun dan 4 tahun. Saya tanyakan kepada pelajar2 saya.."Susah sangatkah kamu belajar dalam keadaan kamu yang masih bujang? Kenapa masih ada yang tidak siapkan tugasan yang diberikan pensyarah?"
Pada Disember 1998 saya telah tempah tiket untuk kami sekeluarga pulang ke Malaysia pada bulan April. Tujuan utama untuk mencari data untuk kajian phd saya. Saya telah mula membeli hadiah untuk adik2 saya dan saudara mara di kampung. Begitu juga dengan suami yang mencari hadiah untuk adik beradik dan keluarganya. Bulan Januari 1999 saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada adik saya.. memberitahu adik lelaki bongsu saya berumur 15 tahun meninggal dunia dalam kemalangan motorsikal dan van kilang tak jauh dari kawasan kampung. Allah saja yang tahu, betapa rindunya saya pada adik kesayangan saya. Adik yang saya jaga seperti seorang ibu menjaga anaknya dan terngiang2 di telinga saya, adik saya berkata, "Ami dah kurus sekarang. Kalau kak long balik nanti mesti terkejut tengok Ami!"(Dia membahasakan diri dia "kami" sejak kecil, tapi cuma sebut "ami"). Ikutkan hati..saya ingin terbang pulang hari tu juga untuk menatap wajah adik saya buat kali terakhir tapi saya tak mampu, apatah lagi tiket2 bulan April dah dibayar sepenuhnya. Seharian saya cuma menelefon, bertanya apa yang berlaku. Adik2 saya cuma memberitahu,"Jenazah dah dimandikan.. dah dikafankan dan dah dikebumikan." 3 hari dan 3 malam saya menitiskan airmata. Saya tidak menelefon ibubapa kerana tidak mahu mendengar mereka menangis. Saya hanya bercakap dengan adik2 di kampong. Hanya suami saya menelefon ayah saya dan mengucapkan takziah dan minta bersabar tapi pada hari adik saya meninggal dunia, saya tetap pergi ke kelas macam biasa. Kawan2 bertanya, "Kenapa tidak rehat saja di rumah?" Saya memberitahu mereka, "Kalau saya menangis sampai keluar airmata darah pun adik saya tak akan hidup semula." Lebih baik saya ke kelas..teruskan hidup macam biasa tapi sepanjang jalan ke universiti airmata saya keluar. Saya bertanya kepada pelajar saya, "Kenapa ada di antara kamu yang selalu ponteng kelas hanya kerana masalah kecil? Kerana bergaduh dengan boyfriend..hanya kerana putus cinta dengan girlfriend?
Selepas tiga hari saya berhenti menangis. Dah kering airmata dan daripada Januari 1999 hingga tahun 2002 saya tidak boleh menangis. Sesedih mana pun..saya tak boleh menangis. Saat itu baru saya tahu betapa menangis itu satu nikmat pemberian Allah kepada hamba2Nya. Terlalu sakit rasanya bila kita tidak dapat menangis. Waktu menziarah kubur adik saya, saya tidak menangis walhal saya amat rindukan dia. Ada satu perkara yang perlu saya ceritakan semasa di UK. Setiap kali selepas saya solat, saya akan berdoa,"Ya Allah panjangkanlah umur datukku!" (Saya dibesarkan oleh nenek dan datuk)."Berilah saya peluang untuk berjumpa datuk, ayah dan ibu!" Itulah doa saya setiap hari. Saya terlalu bimbang tidak dapat bertemu dengan datuk atau ayah dan ibu. Sebab kita selalu berfikir yang tua akan pergi dulu. Bila adik meninggal, saya tersentak. Saya tidak pernah berdoa untuk adik2 saya kerana selalu berfikir yang muda akan hidup lebih lama daripada orang yang tua.
Allah mengajar saya. Saya dapat apa yang saya minta..dapat bertemu dengan datuk, ayah dan ibu. Tapi Allah ‘memberi’ peringatan kepada saya . Jangan lupa orang muda juga boleh diambil nyawanya pada bila2 masa. Perasaan bersalah sebab tidak mendoakan adik2 buat saya rasa terduduk, menyesal dan macam2. Bila difikirkan, apakah hak saya untuk meminta Allah panjangkan umur hamba2Nya sebab Allah dah berkata di dalam al-Quran " Bila datang ajal anak Adam, tidak akan lewat atau cepat sesaat pun.." Sejak hari itu saya cuma berdoa, berikanlah kepada kami semua kebaikan di dunia dan akhirat." Lambat atau cepat pulangnya seorang hamba adalah hak Allah untuk menentukan. Saya insaf... Saya tidak perlu 'mengajar' Allah apa yang patut dilakukanNya. Sejak itu juga setiap kali pelajar2 saya kata, "Dr., tolong doakan saya dapat kerja di Perak ..tolong doakan saya dapat kerja ini dan itu.." Saya memberitahu mereka, "Maaf, saya cuma akan doakan untuk kamu, berikanlah yang terbaik untuk pelajar2 saya." Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita tidak perlu mengajar Allah. Tidak perlu 'memerintah' Allah buat itu dan ini. Kadang2 apa yang kita rasa baik untuk kita tidak semestinya baik.. jadi, terimalah ketentuan Allah dengan hati yang redha.
RINDU YANG TAK BERPENGHUJUNG.
Berbalik kepada cerita kematian adik kesayangan Mohd Shahrom pada tahun 1999, ia memang banyak dialami oleh pelajar2 yang berada di luar negara tapi bagi saya ia bukan kesedihan biasa.. kenapa? Saya anak sulung daripada 11 adik beradik, iaitu 6 perempuan dan 5 lelaki. Pada tahun 1976, ketika saya berusia 9 tahun saya kehilangan seorang adik perempuan kerana demam panas. Saya berpeluang mencium dahi adik waktu itu. Tahun 1983, saya kehilangan seorang adik lelaki yang baru dilahirkan waktu saya di asrama Sekolah Men. Agama (P) al-Mashoor, Penang. Saya tidak diberitahu pun adik saya meninggal dunia. Pada tahun 1986, ketika saya belajar di Nilam Puri, Kelantan. Saya kehilangan seorang lagi adik lelaki yang berusia 10 tahun. Adik saya meninggal kerana lemas sewaktu bermain di sungai di Nibong Tebal. Saya mengambil penerbangan dari Kota Bharu ke Alor Setar, kerana tidak ada tiket ke Pulau Pinang. Bila saya sampai di rumah, jenazah telah dikebumikan. Hajat untuk menatap wajah adik saya Mohd Nasir tidak kesampaian.
Sebab itulah bila adik lelaki bongsu saya meninggal pada tahun 1999 ketika saya di UK... Kesedihan saya menjadi kesedihan yang teramat sangat. Peristiwa lama berulang lagi. Saya tidak dapat melihat dan menghantar jenazah adik ke tempat persemadian. Kalau ditanya apakah perasaan saya hari ini? Saya hanya mampu mengucapkan satu ayat, "Kerinduan terhadap adik2 saya yang telah pergi tidak pernah berpenghujung." Hinggakan saya tidak mampu lagi menziarahi pusara mereka. Bukan tidak berani menghadapi kenyataan tapi tak sanggup mengenang lagi kesedihan masa silam.
Tahun 2000, saya mencuba bersungguh2 untuk siapkan thesis, dan saya di peringkat menganalisa data2 yang diperolehi dari kajian di Malaysia. Januari 2000 saya menerima kunjungan tetamu dari Malaysia, seorang sahabat dari UKM yang datang bersama suaminya. Kami keluar untuk makan malam di rumah kawan yang tak jauh dari rumah sewa saya. Pukul 8.30 malam kami pulang kerumah. Waktu melangkah masuk ke dalam rumah, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Bila sampai ke ruang tamu, saya lihat semua barang2 berselarakan di atas lantai. Rumah sewa kami dicerobohi dan perompak yang memecah masuk rumah saya mengambil barang2 yang paling berharga buat saya. Bukan emas, kerana saya tak punya emas permata tapi komputer, desktop, laptop dan printer. .semua yang amat penting untuk pelajar2 phd. Saya terduduk...nak menangis tapi tak berair mata. Untuk memaki perompak2 itu pun saya tak mampu. Yang saya ingat, saya cuma berdoa, “Ya Allah, berikanlah pengajaran kepada manusia2 yang mengambil barang2ku sehingga mereka tidak akan mengulangi kesalahan ini terhadap orang lain." Itulah doa saya dan dalam keadaan bertungkus lumus ingin menyiapkan secepat mungkin thesis phd..saya diuji lagi dengan dugaan in.
Untuk membeli komputer baru, bukan mudah terutama ketika ekonomi gawat. Suami pun bercuti tanpa gaji. Untuk meminta kepada ibubapa tak mungkin kerana keluarga saya bukan orang senang tetapi Allah itu Maha Pemurah. Seorang kawan saya di University of Manchester memberikan sebuah komputer lamanya kepada saya. Kawan2 di Manchester mungkin pernah dengar nama Ahmad Sofi dan isterinya Salina. (Sofi ialah seorang pensyarah USM tapi bekerja sebagai arkitek di Manchester). Saya tak terbalas budi-baik mereka... hanya Allah saja yang dapat membalasNya.
Bayangkanlah bila menggunakan komputer yang sudah agak lama, tentu mengambil masa tapi saya selalu yakin dengan rahmat Allah. Pada September 2000, suami dipanggil pulang bertugas kerana cutinya telah habis. Diikutkan hati, saya tak mahu pulang ke Malaysia kerana ingin cepat siapkan thesis tapi difikirkan balik, suami saya telah berkorban selama 3 tahun untuk saya. Biarlah kali ini saya pula berkorban untuk dia. Akhirnya kami pulang ke Malaysia menghadapi cabaran baru di tanahair sendiri. Supervisor berkali-kali mengingatkan saya, "Make sure you'll finish your thesis, and please come back for your viva!" - pastikan awak siapkan tesis awak, dan datang semula untuk bentangkan hasil kajian awak."
PENGHUJUNG CERITA
Cabaran di Malaysia lebih hebat kerana di sini tanggungjawab kita lebih besar, kepada keluarga sendiri, kepada saudara mara dan lain2. Genap 4 tahun thesis saya belum dapat disiapkan. Menjadi polisi universiti jika gagal siapkan phd dalam masa 4 tahun biasiswa ditamatkan. Masih lagi boleh bernafas...Selepas 4 tahun 6 bulan gaji saya pula dihentikan. Dari Jun 2002 hingga Jun 2003, saya tidak punya gaji walau sesen pun. Ketika itu saya bergantung sepenuhnya kepada simpanan yang bukannya banyak dan bergantung kepada gaji suami. Peritnya ya Allah...baru saya tahu bagaimana perasaan isteri yang tidak bekerja dan tidak punya pendapatan sendiri..terpaksa bergantung kepada apa yang diberikan oleh suami semata-mata. Dalam kepayahan dan keperitan, saya cuba juga untuk menyiapkan thesis. Anak-anak mula bersekolah dan kesibukan saya juga bertambah. Apatah lagi anak sulung saya banyak ketinggalan dalam pelajaran. Tumpuan perlu juga diberikan untuknya yang telah berkorban untuk saya.
April 2002..saya bersalin anak ke empat, seorang lagi anak lelaki... Melihat wajah anak2 saya merasakan makin kuat azam saya untuk menyudahkan thesis dan saya pernah berjanji. Saya mesti siapkan thesis sebagai hadiah untuk arwah datuk saya yang kembali ke rahmatullah pada bulan Jun 2002. Datuk (Tok wan) lah yang menjadi sumber inspirasi saya yang mengajar saya erti loving, sharing dan caring.
April 2003, thesis saya siap dan dihantar kepada supervisor di UK yang selalu menulis nota kecil setiap kali memulangkan kerja saya yang diperiksanya, "My daughter, you can do it. Don't worry!"Akhirnya pada 8hb Jun 2003, saya terbang sekali lagi ke UK untuk membentangkan hasil kajian saya. Sejujurnya, waktu itu saya ke sana dengan sedikit duit yang dibekalkan suami, duit yang dipinjamkan oleh sahabat setia saya, Dr. Ramizah dan ketua jabatan saya waktu itu, Dr Shafai. Di sana saya menumpang rumah kawan saya, Dr. Fadhil - pensyarah USM dan isterinya kak Ani, orang Baling. Merekalah yang menjaga makan minum saya selama saya di sana. Sahabat saya Adlina, anak kepada bekas TMB Kelantan, ustaz Abdul Halim, dan suaminya Fauzi menghantar saya ke universiti pada 12hb Jun 2003. Sebelum memulakan pembentangan, saya menunaikan solat Zohor di surau universiti. Doa saya hanya satu, "Ya Allah, selama hidupku ini, daku telah diuji dengan berbagai2 dugaan. Daku tidak pernah bersungut terhadap ujianMu ya Allah! Andaikata, sikap tidak bersungut itu Kau terima sebagai amalan yang soleh, daku mohon padaMu,ya Allah! Permudahkanlah urusanku ini, ya Allah."
Adlina menghantar hingga ke muka pintu bilik pembentangan akan dibuat. Saya masih ingat dia menggenggam erat tangan saya dan berkata, "Kak Fauziah, you can do it!" Sempat memohon restu daripada supervisor saya, Dr. Ibrahim Surty. Dia berkata, "My daugher, do your best!" Selama 45 minit bersoal jawab, menghuraikan apa yang ditanya dan mempertahankan kenapa saya memilih tajuk yang agak kolot: Agricultural Law. Saya diminta tunggu di luar sekejab. Saya keluar dan menanti di bilik supervisor.., dia tahu betapa resahnya saya tapi saya memberitahu dia bahawa semuanya berjalan lancar. Semua soalan telah saya jawab dengan tenang. Kemudian saya dipanggil masuk semula. Dr. Mahdy Zahra dari University of Caledonian selaku external examiner, berkata, "Sister Fauziah, we have discussed and we have agreed to confer you a doctorate for your work. Now you are Dr Fauziah, but you need to do a minor correction!" Saya ingin menangis kegembiraan, tetapi waktu itu tidak ada airmata yang keluar. Betapa saya mengharapkan dapat memeluk suami dan anak2 waktu itu, juga ibubapa di kampung untuk berkongsi kegembiraan.. Saya keluar dan terus mendapatkan Dr. Surty dan Adlina, berkongsi berita gembira... selepas hampir 5 tahun berjuang!
Thesis saya bukan yang terbaik..tidak mendapat anugerah apa pun, tapi anugerah yang saya dapat ialah pengalaman yang tak akan dapat dibeli oleh sesiapa pun. Pengalaman yang mengajar kita bahawa hidup ini penuh pengorbanan. Perlu ada kesabaran dan ketabahan, dan kita tidak mungkin berjaya tanpa sokongan dan bantuan insan lain...
Kepada kawan2 semua, saya ingin menjelaskan sesuatu. Sebenarnya bagi kami para pensyarah, PhD bukanlah pengakhir perjuangan. Sebaliknya ia adalah satu permulaan. Perjuangan yang masih panjang dan mungkin perjuangan yang tidak bernoktah. Kenapa? PhD adalah ibarat kunci yang kita perolehi setelah puas mencarinya. Berbekalkan kunci itulah kita akan terus mencari khazanah2 ilmu yang amat bernilai untuk disumbangkan kepada masyarakat, pelajar2 dan orangramai. Dan bagi kami di universiti, pangkat Dr. itu adalah biasa sahaja, kerana seorang pemegang PhD perlu melakukan lebih banyak perkara untuk menjadi professor madya dan seterusnya professor. Setinggi mana sekali pun pangkat dan gelaran yang diterima, ianya tidak akan membawa apa-apa makna jika ianya tidak digunakan untuk menyumbangkan sesuatu kepada agama Islam yang dicintai, kepada masyarakat dan kepada negara.
Ramai yang bertanya, bagaimana saya boleh bersabar menghadapi segala macam dugaan? Jawapan saya.. pertamanya saya percaya kepada rahmat Allah. Saya juga percaya di balik setiap perkara itu pasti ada hikmahnya. Yang keduanya, saya bertuah kerana di dalam kemiskinan harta benda, saya kaya dengan kasih sayang. Kasih sayang datuk dan nenek, kasih sayang ibubapa, suami dan anak2, adik2, sahabat2 dan pelajar2 saya. Di waktu orang berkata, kawan ketawa senang dicari, kawan setia sukar ditemui. Saya mempunyai tiga orang sahabat setia yang sentiasa menolong saya di dalam apa jua keadaan iaitu Shila Azarin, Ahlaam dan Ramizah.
Dan kalau sahabat2 ingin tahu saya tidak pernah mengeluh bila menghadapi kesusahan kerana saya telah terbiasa dengan kesusahan sejak kecil. Saya adalah budak kampung yang menjual nasi lemak dan kuih setiap pagi sebelum ke sekolah dan setiap pagi hari Sabtu dan Ahad. Alhamdulillah kerana tidak akan ada kekuatan melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Hari ini saya selalu bimbang, apakah anak2 saya mampu menghadapi cabaran hidup seperti ibu mereka? Kerana mereka tidak pernah kenal apa itu susah. Kepada Allah saya mohon semoga anak2 saya, dan semua anak2 yang masih belajar, dan kepada mereka yang masih berkembara mencari ilmu.. diberikan kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi hari-hari mendatang. Semoga akan disingkapkan masa depan yang cerah dan gemilang buat mereka semua.
Akhir kalam saya memohon ribuan kemaafan andaikata ada bahasa yang menyakitkan hati dan melukakan perasaan. Yang baik itu daripada Allah, dan yang buruk itu adalah milik saya, sebagai manusia biasa. Kepada mereka yang menghantar email memberikan sokongan untuk terus menulis... ribuan terima kasih saya ucapkan.Salam ukhuwwah daripada saya dan mudah2an persahabatan kita akan berpanjangan atas nama keikhlasan.
"Mimpi tidak selalu indah, hidup tidak selalu payah"
"Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung"
"Biar miskin harta, jangan miskin budi bahasa"
"Alang-alang berkalam biar segalanya jelas dan terang"
Salam kak lizahanum,
BalasPadamSpeechless.
Bila dr fauziah kata kita tak perlu mengajar Allah, ia membuat saya sayu sangat. Bila dr fauziah doakan, moga dgn tidak merungut itu satu kebajikan yg diterima, maka permudahkanlah urusan.. ia membuat saya jauh terselam.
Subhanallah. Setiap diri kita mungkin pernah mengalami peristiwa yang mengagumkan bagi dirinya. Begitulah saya pd satu saat. Dari orang yg tak berharap apa-apa, saya jd orang yg amat berharap pd masa itu. Dan ia diterima Allah. Pada amatan saya, ia terjadi, bila kita amat berasa tiada tempat pergantungan kecuali Tuhan, iaitu Allah, kerana keterdayaan oranglain untuk memahami dan membantu kita adalah terhad.
Apa yg Dr Fauziah dapat, ia satu peristiwa yg cantik yang diberikan Allah.. Doa itu SENJATA orang Mukmin. :) Insya Allah, kak Lizahanum akan mendapat yg terbaik.. Amin.
waalaikumsalam...my dear indah...
BalasPadammemang terkesan dalam jiwa akak bila baca kisah dan pengalaman Kak fauziah nie.....kadang2 kita tak sedar dalam kita berharap dan berdoa padaNya,kita tak sedar doa kita tu seperti mengarah pdNya agar kita beroleh sesuatu...subhanallah.....
moga kisah nie menjadi pengajaran dan tauladan....
sesuangguhnya DIA perancang terbaik untuk setiap hambaNya.....
moga indah dan keluarga pun mendapat apa yg Terbaik juga dariNya.....
Saya jarang membaca blog orang lain tapi tuhan telah membawa saya ke sini...
BalasPadamTq atas share pengalaman........ Ia sangat memberi inspirasi..
cerita yang sangat memberikan inspirasi... Walaupun saya jarangnbaca blog orang lain...
BalasPadamSalam,
BalasPadamliza Hanim berkerja dimana sekarang?
Boleh email saya.
thank you.
hmdesa@gmail.com